comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO senada dengan PM, jual saham MAHB kepada GIP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: UMNO senada dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu penjualan pegangan saham Khazanah Nasional dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang dikaitkan dengan firma pelaburan Amerika Syarikat (AS), BlackRock.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad merupakan pendapat peribadi dan tidak melambangkan pendirian UMNO sebagai sebuah parti politik.

“Saya telah bertemu beliau (Datuk Seri Mohamad) malam tadi dan beliau menyatakan itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukannya pendirian UMNO secara kesuluruhan.

“Isu (penjualan saham) ini ada dibawa dalam mesyuarat kabinet beberapa kali, tapi tidak secara terperinci seperti penjelasan semalam, ‘pre-council’ dibuat daripada seluruh ahli-ahli parlimen, ahli-ahli dewan rakyat, dewan negara, serta menteri dan timbalan menteri.

“Maklumat terperincinya dibincangkan, ditaklimatkan semalam”, katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia, petang tadi.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, merupakan anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).

Antara objektif program adalah bagi memperkasa halatuju UiTM selaras dengan agenda Malaysia MADANI dan penghayatan Rukun Negara serta menyebarluas kefahaman dan penghayatan falsafah MADANI serta nilai-nilai Melayu Islam dan Raja-raja dalam kalangan warga UiTM.

Program yang julung kali diadakan ini mengumpulkan seramai 74 peserta daripada Kepimpinan Tertinggi UiTM seluruh negara.

Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Ros; Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib; dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri, Mohd Haswandi Ahmad.

Semalam media melaporkan Datuk Seri Mohamad berkata menteri dari Umno tidak bersetuju Khazanah menjual pegangan dalam MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Ia berikutan kerajaan mempertahankan keputusannya membenarkan sebuah syarikat milik pengurus dana kontroversi AS BlackRock untuk membeli saham dalam konsortium menguruskan lapangan terbang Malaysia.

Isu penjualan saham itu mendapat bantahan pelbagai pihak ekoran kaitan GIP dengan BlackRock, yang mempunyai pegangan dalam syarikat-syarikat senjata Amerika Syarikat yang menghasilkan senjata yang digunakan oleh Israel.

Bagaimanapun minggu lalu, dana pelaburan prasarana, GIP menegaskan BlackRock tidak terlibat dalam transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui konsortium Gateway Development Alliance (GDA).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini