Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, beliau sedang menantikan surat rayuan daripada seorang pemimpin dari Negeri Sembilan berhubung isu tindakan disiplin yang dikenakan terhadap individu berkenaan.
Beliau mengulas perkara itu susulan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap beberapa ahli partinya yang berdepan tindakan tersebut sebelum ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu tidak menerima surat daripada mana-mana individu lain kecuali bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
“Setakat ini daripada Pasir Salak (bekas) sudah terima. Saya sedang tunggu surat rayuan seorang pemimpin dari Negeri Sembilan… yang lain tidak pernah minta apa-apa,” jawabnya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual menerusi siri Podcast Utama Buletin TV3 hari ini.
Sebelum ini, MKT UMNO sebulat suara memutuskan untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun wujud beberapa ahli lain yang berdepan tindakan disiplin selepas didakwa mengkritik parti secara keterlaluan.
Antara yang terlibat merupakan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan dan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Selain itu, Umno juga membuat keputusan memecat bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin serta Tan Sri Noh Omar.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.