Tumpuan :
Nasional

UMNO mohon pengampunan penuh Najib

KUALA LUMPUR: UMNO hari ini memohon ihsan, kebijaksanaan, dan keadilan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan berkata permohonan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan, dan keadilan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib, selaras dengan kuasa prerogatif baginda seperti termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang memperakukan bahawa Titah Adendum berkaitan penahanan dalam rumah Najib adalah wujud dan sahih.

“Perakuan kesahihan Titah Adendum ini, yang disahkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Najib. Afidavit tersebut sebelum ini dibuat oleh saya dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib,” katanya.

Terdahulu, Najib berjaya mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.

Titah Adendum itu dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah atas sabitan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam keputusan majoriti 2-1 yang dibacakan oleh Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, mahkamah menyatakan bahawa fakta dan bukti yang dikemukakan oleh Najib tidak boleh diabaikan dalam kes berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini