Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan meneruskan perhimpunan solidariti yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, Isnin depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diambil berdasarkan prinsip menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta mematuhi arahan Ketua Polis Negara.
“UMNO dengan penuh kerendahan hati akur kepada saranan titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dalam mengemukakan rayuan berhubung kes Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara.
“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan, sebagaimana titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Dalam kenyataan itu, beliau turut menegaskan bahawa UMNO menjunjung hormat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi pengampunan, menangguhkan hukuman dan meringankan hukuman terhadap sebarang kesalahan yang berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Tambahnya, sebagai parti yang konsisten dalam memperjuangkan dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Parti, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO menaruh sepenuh keyakinan terhadap keihsanan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan sepenuhnya kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
“UMNO juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh ahli UMNO yang telah menyatakan komitmen dan sokongan moral, walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.