comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO beri ruang kepada bahagian Gua Musang laksana undi dalaman pilih calon dengan elemen ‘WALI’

Foto: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: UMNO sedang mengadakan rundingan dengan Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk melaksanakan pengundian dalaman bagi memilih calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bagi memilih calon-calon anak tempatan yang berpotensi menang, diterima masyarakat setempat dan disukai ramai.

“Walaupun senarai pendek telah sampai kepada saya tetapi tradisi Gua Musang, akan membawa nama-nama itu dalam mesyuarat bahagian dan akan diadakan pengundian dalaman di kalangan jawatankuasa bahagian untuk memilih calon yang mempunyai elemen ‘WALI’ (winnable, acceptable and likeable),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Anugerah Pendidik Mara 2024, hari ini.

Katanya lagi, rundingan itu akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon pada 3 Ogos.

Sebelum ini Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.

Keputusan itu selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang keahlian daripada Bersatu.

Dalam majlis hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut mengumumkan Skim Latihan Pemerkasaan Pendidik MARA untuk pendidik berpotensi terpilih yang bakal memberi fokus kepada pemerkasaan pedagogi, penguasaan kandungan pengajaran dan kepimpinan konstruksional.

“Kami telah memutuskan untuk menghantar tenaga pendidik MARA ke 5 buah negara iaitu di Finland, Jepun, Jerman, China dan Amerika Syarikat bagi menjalankan latiha-latihan akademik dan praktikal berkaitan pedagogi inovatif, STEM, TVET, ” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini