GUA MUSANG: UMNO Gua Musang akan terus menggalas tanggungjawab membangunkan kawasan luar bandar seiring ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyentuh program besar-besaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Timbalan Ketua UMNO Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata mandat besar dipikul UMNO Gua Musang dalam usaha membangunkan daerah ini yang termasuk dalam kategori luar bandar.
Beliau berkata, perubahan juga perlu dilakukan dalam kepimpinan parti bagi membangunkan masyarakat di pedalaman supaya seiring dengan kemajuan negara.
“Saya positif dan akan terus bersemangat menggalas tanggungjawab membangunkan masyarakat luar bandar terutama daerah ini yang turut diduduki masyarakat Orang Asli.
“Dalam konteks UMNO Bahagian Gua Musang, kita punya mandat yang besar untuk terus membangunkan kawasan luar bandar.
“Namun, kita perlu perubahan dalam parti yang bukan hanya tertakluk kepada pemimpin baharu, tetapi juga corak kepemimpinan perlu berubah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Syahbuddin berkata, setiap ahli parti juga bertanggungjawab mengubah persepsi masyarakat terhadap segala tohmahan dan fitnah terhadap parti.
Beliau berkata, sokongan rakyat akan dikembali bersama UMNO sekiranya parti bersedia berubah dalam memperjuangkan nasib rakyat.