KUALA LUMPUR: Ummu Atiyah, anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, dijangka menunjukkan lokasi dia didakwa dikurung kira-kira sebulan di sebuah perkampungan GISB Holding (GISBH) di Batu Hampar, Perak, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika dihubungi BH.
“Mangsa (Ummu Atiyah) akan hadir dan menunjukkan semula lokasi rumah di mana dia dikurung bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Ummu Atiyah mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan serta ‘dirogol’ oleh seorang pemimpin GISBH.
Pada sidang media di ibu negara itu, wanita berusia 41 tahun itu mendakwa dia menjadi mangsa rogol kepada seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa.
Ummu Atiyah turut mendakwa dikurung di sebuah perkampungan GISBH Batu Hampar, Perak.
Dalam pada itu, Razarudin berkata polis sudah membuka kertas siasatan susulan pendedahan dibuat Ummu Atiyah berhubung dakwaan itu.
Beliau turut mengesahkan Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar.
Katanya, pengadu memberitahu perkampungan terbabit dihuni ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 dan ke atas.
“Dia mendakwa dikurung dalam sebuah bilik di rumah setingkat kira-kira sebulan serta tidak diberi kemudahan menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.
“Dia juga menyatakan beberapa kali cuba untuk melarikan diri dari perkampungan itu, namun ditangkap oleh penghuni lain.
“Pengadu menyatakan dia cuba melarikan diri kerana tidak tahan perbuatan pengikut GISBH yang mengurung dan memisahkannya dengan anaknya,” katanya.
Razarudin turut mengesahkan mangsa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping sekitar 2018 dan kini sedang mengambil ubat di Hospital Melaka.
“Laporan dan keterangan perubatannya sedang dalam proses diperoleh,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.