Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Umat Islam diseru memahami maksud dan keperluan perpaduan yang menjadi tonggak dalam pengukuhan Islam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengambil contoh peperangan di Gaza dan Lubnan jelasnya kecelaruan menyebabkan perpecahan antara umat islam dan akan memberi peluang kepada negara musuh menyerang dan menghina.
“Kita mulakan dengan memupuk semangat kental, menjamin supaya ada kesefahaman dan perdamaian di antara umat islam dan bukan islam di negara ini kerana itu menjadi pra syarat bagi kita membangunkan ekonomi mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama di Majlis perasmian pembukaan Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.
Tambahnya umat islam juga diseru untuk terus meneroka bidang baharu dan belajar daripada pengalaman serta semangat Al-Quran.
“Pengertian dan kebijaksanaan diperlukan kerana pemikiran yang jumud akan menenggelamkan kita.
“Disamping itu pemikiran dan langkah yang gopoh atau tidak bijaksana akan menghambat dan menjadi cabaran kepada kita,” ujarnya.
Penganjuran oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diadakan selama lapan hari bermula hari ini dan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mengangkat tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ penganjuran kali ini melibatkan seramai 92 peserta keseluruhannya dari 71 buah negara dengan 53 peserta kategori Tilawah Al-Quran dan 39 peserta kategori Hafazan Al-Quran 30 juzuk.
Malaysia menghantar empat peserta, masing-masing dua peserta bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga turut berkenan akan berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada Johan Tilawah dan Johan Hafazan Al-Quran pada Sabtu ini.
MTHQA ke 64 ini turut diserikan dengan bacaan qari jemputan, persembahan nasyid, tazkirah, bacaan qasidah, Karnival MTHQA, persembahan khas wakil-wakil peserta MTHQA Ke-64 dan World Quran Symposium Tahun 2024 “Transformasi Ummah Melalui Kemukjizatan Al-Quran”.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.