
PETALING JAYA: Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Ahad, 2 Mac, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
20 Februari lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan, menetapkan hari ini, 28 Februari bersamaan 29 Syaaban 1446H untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia.
Proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi di seluruh negara antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.