KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) mengesahkan sudah menerima laporan berhubung dakwaan seorang ahli akademik berkongsi gambar bogel dirinya dengan penuntut dan melakukan gangguan seksual.
Katanya, laporan itu dibuat Kelab Feminisme UM yang kemudiannya dilaporkan oleh beberapa agensi media.
“Ketika ini, UM tidak dapat mengulas lanjut memandangkan ia sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
“UM akan sentiasa memantau perkembangan kes dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak bertanggungjawab bagi memastikan isu ini ditangani secara betul,” katanya.
Semalam media melaporkan, Kelab Feminisme UM menggesa pihak pengurusan memperketatkan polisi gangguan seksual selepas insiden berkenaan.
Kelab itu mendakwa gambar berkenaan dicetak dan dipamerkan di sekitar kampus bagi memberi peringatan kepada pelajar lain sebelum ia diturunkan.
Ia mendakwa, beberapa profesor lain cuba untuk melindungi pelaku.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.