comscore
Tumpuan :
Nasional

UM mohon maaf, ambil tindakan segera terhadap insiden pro-Zionis

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) memohon maaf dan kesal dengan kenyataan kontroversi seorang profesor pro-Israel yang dijemput sebagai penceramah ke universiti itu.

Menerusi kenyataannya hari ini UM menyatakan kekesalannya dengan kejadian yang berlaku hingga tular di media sosial.

Katanya, laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit dengan isu ini.

“UM turut memandang serius perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

9 April lalu, Institut Pengajian Cina UM mengeluarkan jemputan terbuka untuk seminar yang bertajuk “REASSESSING REPUBLICAN CHINA” yang menampilkan Bruce Gilley pada 25 April.

Pada 16 April lalu, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik mengumumkan program Visiting Professor Program 2024 (Program Profesor Pelawat 2024) di mana Bruce dijemput untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel selama tiga hari mulai 22 sehingga 24 April lalu.

Pada hari kedua (23 April), ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk “Will Malaysia Become an Active Middle Power?” Bruce mengeluarkan kenyataan berbunyi “A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States” ketika memberi syarahan.

Kenyataan itu kemudian dikongsikan semula menerusi ciapan di laman X milik peribadinya, yang menarik perhatian masyarakat Malaysia terutamanya mahasiswa UM.

Susulan itu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pihaknya memandang serius isu berlaku dan telah mengarahkan laporan segera dikemukakan.

Tegasnya walaupun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program intelektual tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat Malaysia.

Tambahnya setiap pihak perlu peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan di mana-mana institusi di bawah KPT.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini