Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ular sawa seberat 80kg kekenyangan telan beruk jantan, ditangkap

Foto: Ihsan APM

BALING: Sebaik kekenyangan menelan seekor beruk jantan, ular sawa sepanjang hampir lima meter ditangkap di Kampung Sera Ulu, di sini, pagi semalam.

Kehadiran ular sawa itu disedari oleh pemilik beruk itu ketika memberi haiwan peliharaannya itu makan di belakang rumah.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata penduduk terbabit yang terkejut lantas menghubungi pihaknya sejurus selepas itu bagi membantu menangkap reptilia berkenaan.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan jam 7.30 pagi dan tiba di lokasi 15 minit kemudian. Sebaik tiba, operasi menangkap reptilia itu dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.

“Ular sawa seberat 80 kilogram dan panjangnya hampir tujuh meter itu berjaya ditangkap dan dibawa ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Faizul menasihatkan orang awam supaya berhati- hati dan menghubungi pihaknya di talian 04-4701626 (24 jam) atau 999 untuk mendapatkan bantuan sekiranya berdepan situasi kecemasan seperti itu.

Katanya, perubahan cuaca hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan semakin banyak kes ular diterima terutama bersaiz besar menceroboh masuk rumah penduduk sekitar daerah ini.

“Sepanjang bulan ini, jumlah kes ular yang diterima adalah 65 yang membabitkan tangkapan ular sawa, tedung selar, tedung senduk dan rusuk kerbau,” katanya.

Loading...
Terkini