comscore
Tumpuan :
Kes

Ular sawa seberat 10 kilogram ‘berteduh’ dalam rumah

BATU PAHAT: Seekor ular sawa ditangkap selepas memasuki sebuah rumah di Kampung Parit Saidi Laut di Senggarang, dekat sini, pagi tadi.

Ular sawa seberat hampir 10 kilogram (kg) dengan panjang lebih tiga meter itu ditemui di kawasan ruang tamu sebuah rumah di kampung terbabit, dipercayai cuba mencari kawasan lembap susulan cuaca panas.

Leftenan Muda Pertahanan Awam, Khairul Afif Khairuddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.30 pagi sebelum tiga anggota dikejarkan ke lokasi untuk menangkap ular sawa terbabit.

“Ular itu dipercayai cuba mencari kawasan lembap memandangkan cuaca panas ketika ini. Ia dilihat agak agresif ketika cuba ditangkap, mungkin dalam keadaan kelaparan,” katanya.

Beliau berkata, anggota mengambil masa kira-kira lima minit sebelum reptilia itu berjaya ditangkap dan ia kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Batu Pahat sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

“Saya nasihatkan penduduk lebih berwaspada dengan kehadiran repitlia seperti ini yang mungkin mencari perlindungan disebabkan cuaca panas ketika ini,” katanya.

Loading...
Terkini