GUA MUSANG: Seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram (kg) ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Baru Star di sini, malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Gua Musang, Mohd Hanafi Mohd Bokri berkata, haiwan sepanjang empat meter ditangkap tiga anggotanya selepas menerima aduan kira-kira jam 8 malam.
“Tiga anggota APM mengambil masa 30 minit untuk menangkap haiwan terbabit yang berada berhampiran rumah penduduk di Kampung Baru Star.
“Operasi agak sukar kerana haiwan liar agresif, mungkin dalam keadaan kelaparan. Alhamdulillah operasi selesai jam 9 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mohd Hanafi berkata, ular sawa batik itu akan di serahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
“Saya harap orang ramai atau penduduk, terutama yang tinggal di kawasan berhampiran hutan atau semak untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutama dengan musim hujan,” katanya.
Sementara itu, Penduduk Kampung Star, Nur Anis Haitikah, 22, berkata, ular sawa itu hanya berada kira-kira 100 meter dari rumahnya.
“Ini kali pertama saya melihat ular sawa sebesar itu berhampiran rumah dan sangat terkejut melihat saiznya yang besar.” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.