BALING: “Perutnya besar dan dipercayai baru lepas menelan anak lembu,”
Demikian luahan Mohd Khatib Ismail, 59, penduduk Kampung Weng Dalam yang menemui ular sawa yang kekenyangan itu dalam kebun getah di kampung terbabit.
Jelas Mohd Khatib, dia yang ternampak ular sawa itu di tengah kebun getah sewaktu meronda di kawasan berkenaan.
“Saya kemudian meminta bantuan beberapa penoreh getah berhampiran kawasan itu dan mengikat mulut ular sawa berkenaan menggunakan tali sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling.
“Ketika itu, ada penduduk kampung memberitahu anak lembu peliharaannya hilang, jadi mungkin ular sawa itu yang menelannya,” katanya.
“Perutnya besar dan dipercayai baru lepas menelan anak lembu,” Demikian luahan Mohd Khatib Ismail, 59, penduduk Kampung Weng Dalam yang menemui ular sawa yang kekenyangan itu dalam kebun getah di kampung terbabit. pic.twitter.com/y05EpPNomh
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 12, 2023
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk menangkap ular sawa sepanjang 5.5 meter itu dan beratnya 90 kilogram (kg).
“Anggota APM Baling juga terpaksa mengangkat ular sawa itu dengan bantuan penduduk kampung menggunakan lori disebabkan saiznya yang berat sebelum membawanya balik ke pejabat.
“Reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.