Tumpuan :
Nasional

Ular sawa 100kg lapar, agresif berjaya ditangkap APM

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan berjaya menangkap ular sawa batik seberat 100kg. – FOTO: NSTP

PEKAN: Seekor ular sawa batik seberat 100 kilogram (kg) ditangkap oleh empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan di Taman Mutiara, di sini kelmarin.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pekan, Kapten (PA) Shaifu Ahmad Azmi Nafiah, berkata selepas tiga mencuba akhirnya reptilia sepanjang 12 meter berjaya ditangkap anggotanya selepas menerima aduan penduduk setempat kira-kira jam 9 malam yang melihat ular berkenaan sedang melintas jalan.

Katanya, empat anggota APM yang bertugas mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap reptilia terbabit yang dipercayai menjadikan kawasan semak sebagai habitatnya.

“Operasi agak sukar kerana reptilia berkenaan agak agresif, mungkin dalam keadaan kelaparan selepas tempat persembunyian atau sarangnya ditenggelami air.

“Alhamdulillah dengan pengalaman luas empat anggota terbabit operasi berjaya tanpa sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shaifu Ahmad berkata, ular sawa batik itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap orang ramai atau penduduk, terutama yang tinggal di kawasan berhampiran hutan, semak dan paya untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutama dengan musim hujan. Selain ular, serangga berbisa akan keluar.

“Dalam tempoh 11 bulan tahun ini APM Pekan telah menangkap dan memindahkan 578 ular pelbagai spesies dan saiz yang berada dalam kediaman termasuk ditemui berkeliaran,” katanya.

Sementara itu, Kamarullah Mohd Sharif, 21, berkata ketika proses menangkap, ular sawa berkenaan bertindak agresif dengan beberapa kali cuba menyerangnya.

“Ular sawa berkenaan keluar daripada semak selepas dipercayai lapar, penduduk mendakwa reptilia terbabit cuba menyerang kucing yang banyak berkeliaran di kawasan itu.

“Dalam tempoh sebulan dua kali kita cuba menangkap ular terbabit tetapi tidak berjaya, pernah saya dan rakan menarik bahagian ekor tetapi terpaksa melepaskan kerana tidak mampu melawan kekuatannya,” katanya.

Beliau berkata, ‘sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua’ selepas menunggu selama sebulan akhirnya ular sawa berkenaan tewas di tangan dia dan tiga rakan.

Kamarullah menambah, musim tengkujuh sekarang menyebabkan banyak ular keluar untuk mencari makan selain kawasan sarang ditenggelami banjir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini