Tumpuan :
Hiburan

Ulang Tahun Ke-39 TV3: Keraian berkonsepkan animasi pikat Gen Z

Oleh Juliana Sharin

PETALING JAYA: Esok, Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau lebih popular, TV3, menginjak ke usia 39 tahun.

Mengekalkan tagline ‘Sentiasa Bersamamu’, sambutan ulang tahun kali ini diinspirasi oleh elemen anime dan animasi.

Konsep itu menjadi pilihan dalam pengisian kebanyakan programnya, supaya TV3 terus sinonim sebagai stesen telivisyen pilihan di kalangan generasi-Z dan milenial.

Bagi menyemarakkan sambutan ulang tahunnya, pelbagai program menarik disajikan buat penonton setia TV3.

Sambutan akan dimulakan dengan Karnival Jom Heboh di Shah Alam, pada dua hingga empat Jun.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof berkata, penampilan maskot Ejen Ali, bakal mencuri tumpuan pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof

Ia seiring dengan tayangan perdana musim terbaharu Ejen Ali, bermula 25 Jun, setiap Ahad jam 11 pagi.

“Karnival Jom Heboh merupakan platform TV3 untuk mendekati penonton setianya. Ia cara kami meraikan dan menghargai mereka yang telah meyokong perjalanan penyiaran TV3 selama 39 tahun ini sehingga ke tahap yang membanggakan ini.

“Menariknya kali ini akan diadakan pertandingan pakaian kostum anime, dengan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai lebih RM8,000 untuk dimenangi. Semua dijemput hadir,” katanya.

Karnival Jom Heboh juga menawarkan peluang kepada pengunjung untuk beramah mesra dengan selebriti kesayangan di Studio TONTON Drama Sangat.

Manakala Konsert Jom Heboh akan berlangsung pada malam Sabtu dan Ahad, membariskan penyanyi terkenal tanah air antaranya Khai Bahar, Hazama, Shiha Zikir, Aizat Amdan, Black Hanifah, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Floor 88, Amir Jahari dan Amelia.

Bukan itu saja, satu lagi tarikan di karnival itu adalah pameran replika jentera yang digunakan dalam filem Fast X.

Memperincikan kandungan menarik sepanjang bulan ini, Nini mengingatkan penonton agar tidak melepaskan peluang menyaksikan tayangan filem aksi pecah panggung, Furious 7, dua Jun, 10 malam.

Platform digital, TONTON pula menawarkan pelbagai genre untuk penggemar anime, termasuk siri Cell At Work!!! dan Tokyo Revengers.

“Program terkenal yang menjadi jenama TV3, seperti Majalah Tiga, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Wanita Hari Ini (WHI) juga akan mempertontonkan pelbagai kandungan menarik berkaitan anime dan animasi.

“Akan ada satu dokumentari khas berkenaan budaya anime dalam siaran Majalah Tiga pada 5 Jun. MHI pula akan menampilkan pakar disebalik tabir animasi terbitan TV3 dan Primework Studio,” tambahnya.

Aktiviti lebih santai disajikan dalam WHI iaitu dekorasi kek bertemakan anime, selain demonstrasi solekan daripada pengaya karekter anime berhijab, Miisa juga Pudds dan Pin2pinky.

Tambahnya, pengacara dan artis jemputan yang terlibat dalam program hiburan Melodi dan “I Can See Your Voice” juga akan bergaya sakan dengan kostum anime.

“Pastinya sambutan kali ini akan lebih bermakna dengan adanya kolaborasi. Tahun ini, TV3 berkolaborasi dengan dua jenama popular iaitu Ameera Zaini dan Alha Alfa untuk menghasilkan cenderahati eksklusif bersempena dengan ulang tahun ke-39 iaitu tudung Ameera Zaini dan gincu Alha Alfa,” ujarnya.

Menurut beliau lagi Ameera Zaini akan mengeluarkan tudung dengan rekaan khas corak bunga Jepun juga sakura untuk diselaraskan dengan konsep anime.

Manakala, Alha Alfa menawarkan koleksi sangat istimewa, iaitu dua jenis gincu dengan warna TV3, biru kuning merah.

Loading...
Terkini