ALOR SETAR: Ulama terkenal Kedah, Tuan Guru Abdul Hamid Ismail atau Pak Su Mid, Kuala Nerang meninggal dunia, petang tadi, dipercayai akibat sakit tua.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menerusi hantaran Facebook milik beliau berkongsi berita kematian ulama berusia 96 tahun itu, kira-kira jam 7.15 malam ini.
“Telah menghadap Pencipta “Permata Bumi Kedah” sebentar tadi.
“Semoga rohnya dihimpunkan bersama para anbiya dan orang soleh. al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata Pak Su Mid meninggal dunia kira-kira jam 6 petang tadi di sebuah hospital swasta di Alor Setar.
“Saya difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua selepas beberapa lama dikhabarkan tidak sihat.
“Jenazah sudah dibawa pulang ke rumahnya di Kuala Pai, Bukit Tembaga, Kuala Nerang dan dijangka dikebumikan pagi esok, ” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Pak Su Mid dilahirkan pada 1926 terkenal dengan kata-kata hikmahnya dan penuh kiasan dalam memberi nasihat. – BERITA HARIAN