Tumpuan :
Nasional

UKM sedia bantuan pendidikan, kebajikan dua anak Allahyarham Khairul Ikhwan

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.- Foto fail

KAJANG: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menyalurkan bantuan pendidikan dan kebajikan kepada dua anak Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi yang cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Air Keroh, Melaka.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata, UKM menyediakan pelbagai kemudahan bantuan termasuk bantuan khairat kematian, bantuan pendidikan dan sara hidup untuk anak-anak kakitangannya yang meninggal dunia.

“Universiti ada sumbangan daripada segi khairat kematian yang akan disumbangkan serta merta kepada waris) selain sumbangan iringan yang akan diserahkan oleh Menteri Pendidikan (Datuk Seri Zambry Abd Kadir) 27 Disember nanti secara peribadi.

“Berkaitan dengan waris (anak) mangsa, kita sedang membincangkan kaedah bantuan yang sewajarnya kerana ada beberapa insiden membabitkan staf kita sebelum ini, kita tanggung anaknya dari kecil sehingga dewasa dan mendapat pekerjaan.

“Kita sedang berbincang dengan Jabatan Pendaftar UKM bagaimana kita hendak bantu dua anak arwah. Ada kemungkinan juga kaedah bantuan itu daripada segi pendidikan sekiranya mereka menyambung pengajian di universiti,” katanya ketika ditemui di Surau Al Ikhlas,Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Mohd Ekhwan antara lebih 400 kenalan, sahabat handai serta keluarga yang berada di Surau Al Ikhlas untuk menunggu ketibaan jenazah Khairul Ikhwan, 32, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32, dan anak bongsu, Muhammad Umar, 2, yang maut dalam kemalangan itu.

Turut maut dalam nahas itu bapa dan ibu Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.

Dalam pada itu, Mohd Ekhwan berkata Allahyarham Khairul Ikhwan bertugas sebagai Penolong Jurutera di Fakulti Pergigian UKM dan sudah berkhidmat di universiti itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, pemergian Khairul Izwan adalah satu kehilangan buat Fakulti Pergigian UKM kerana Allahyarham disifatkan sebagai kakitangan berdedikasi.

Loading...
Terkini