comscore
Tumpuan :
Nasional

UKM peruntuk RM1.2 juta naik taraf Pangsapuri Taman Tenaga, Kolej Idris Al-Marbawi


PUTRAJAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperuntukkan RM1.2 juta bagi melaksanakan proses naik taraf secara berperingkat Pangsapuri Taman Tenaga dan Kolej Idris Al-Marbawi yang didapati usang dan rosak.

UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengurusan tertinggi universiti meluluskan peruntukan itu selepas pihaknya bersama Kesatuan Mahasiswa UKM mengadakan lawatan ke dua premis berkenaan.

Kataya, fasa satu adalah bagi membaik pulih unit rumah di Taman Tenaga yang boleh menempatkan lebih 450 pelajar manakala fasa kedua melibatkan perancangan pembaikan Kolej Idris Al-Marbawi secara berperingkat.

“Kedua-dua premis ini juga akan digabungkan menjadi satu identiti kolej baharu setelah proses baik pulih ini selesai,” katanya.

Sementara itu, UKM memberitahu berdasarkan data terkini Pusat Perumahan Pelajar (PPP) UKM yang diperoleh setakat semalam, seramai 12,420 pelajar bagi Sesi Akademik 22/23 telah mendaftar di kolej kediaman disediakan.

UKM menyediakan penginapan kepada 12,920 pelajar di kolej kediaman bagi Sesi Akademik 22/23.

“Baki kekosongan ini akan ditawarkan kepada 550 pelajar tahun satu ambilan kedua bermula 25 hingga 31 Okt ini.

“Sepertimana diamalkan di semua Universiti Awam, penginapan pelajar di kolej kediaman diberi keutamaan kepada pelajar tahun pertama dan baki kekosongan pula akan dibuka kepada pelajar senior,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini