PUTRAJAYA: Ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV) dan kenderaan barangan (GDL) dimansuhkan berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata biarpun ujian itu dimansuhkan, pemohon masih perlu menghadiri dan melengkapkan kelas teori sedia ada sebelum lesen terbabit dikeluarkan.
“Ini adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur Lesen Vokasional terdiri daripada kategori PSV dan GDL untuk memudahkan pemohon.
“Namun calon bagi kategori lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi, masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali sebelum mendapat lesen vokasional,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Loke berkata, penambahbaikan lain dilaksanakan ialah kelas teori bagi semua kategori lesen vokasional, dibenarkan secara dalam talian sama ada menerusi platform disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), institut memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang berkelayakan.
Katanya, tempoh kelas teori sedia ada turut dikekalkan.
“Mana-mana IM atau syarikat perniagaan pengantaraan, hendaklah menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori lesen vokasional dalam talian yang ditetapkan JPJ sepenuhnya.
“Pihak JPJ akan menetapkan syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform dalam talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon,” katanya.
Beliau berkata, data dan maklumat kehadiran calon akan diintegrasikan dengan sistem MySIKAP bagi membolehkan lesen vokasional dikeluarkan secara terus kepada calon tanpa memerlukan kehadiran fizikal ke kaunter JPJ.
“Silibus kelas teori bagi semua kategori lesen vokasional terutama membabitkan perkhidmatan e-hailing dan teksi akan disemak semula serta ditambah baik oleh JPJ serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan mendapatkan input daripada pihak industri supaya relevan dengan keperluan semasa.
“Justeru, penambahbaikan silibus ini akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan,” katanya.