comscore
Tumpuan :
Nasional

Ujian DNA 5 rentung termasuk bayi diketahui 3 hari lagi 

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) lima individu termasuk seorang bayi yang rentung dalam kebakaran di kawasan setinggan di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas, di sini dijangka diketahui tiga hari lagi. 

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata pihaknya masih menunggu laporan kimia siap bagi proses pembahagian identiti mayat yang rentung itu. 

“Pihak polis dan pasukan perubatan masih menunggu laporan ujian DNA daripada Jabatan Kimia dan keputusan itu dijangka diperoleh dalam tiga hari lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jenazah ketiga-tiga mangsa Raina Adrian berusia setahun, Raida, 3; dan Raisa, 4, ketiga-tiganya adik beradik, manakala dua lagi anak keluarga jiran yang juga adik beradik dikenali Siti Faridah Wahid, 3, dan kakaknya Almidah, 14, masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Quenn Elizabeth I (HQEi), di sini sementara menunggu laporan DNA. 

Ahli keluarga berada di luar perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEi), di sini sementara menunggu laporan DNA

Tinjauan Buletin TV3 di luar perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HQEi sejak 8.00 pagi tadi mendapati ahli keluarga termasuk kedua ibu bapa mangsa masih menunggu laporan forensik terkini mangsa dan bersurai kira-kira 3.30 petang selepas mengetahui penambahan tempoh tiga hari lagi untuk mendapatkan laporan penuh ujian DNA daripada Jabatan Forensik. 

Wahid Maulan, 44 dan isterinya Melnah Kadir, 40 ibu bapa kepada mangsa Siti Faridah, 3 dan Almidah, 14 kelihatan sugul di luar Jabatan Forensik manakala Adrian Perkin, 52 bapa kepada Raina, 1; Raida, 3; dan Raisa, 4 kelihatan tenang walaupun tidak ditemani isteri Saleha Ghani, 29 yang kini menunggu hari untuk bersalin anak keempat di Hospital Likas. 

Datuk kepada mangsa Siti Faridah dan Almidah, Asmil Tahsam, 65 berkata selepas selesai tempoh tiga hari laporan penuh DNA berkenaan jenazah akan dibawa ke Semporna dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aman Jaya. 
  
Manakala bapa kepada Raina, Raida, dan Raisa berkata ketiga-tiga anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puri Warisan, Kalansanan, Inanam, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam, lima mangsa berkenaan adalah anak daripada dua keluarga yang berjiran rentung dalam kebakaran membabitkan empat rumah dan sebuah gerai.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata mangsa ditemui rentung dalam bilik mandi salah sebuah rumah yang terbakar dalam kejadian itu.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini