Tumpuan :
Nasional

‘Ujian air kencing hanya untuk individu yang dilihat mencurigakan’

Exco Kerajaan Tempatan dan Perlancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan ujian air kencing sebelum memasuki konsert dicadangkan hanya dilaksanakan kepada individu yang kelihatan mencurigakan sahaja.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim menerusi satu kenyataan menjelaskan, pentadbiran negeri Selangor menyatakan cadangan tersebut adalah sebahagian daripada langkah awal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang menghadiri acara hiburan di Selangor.

“Sekiranya terdapat individu yang membawa barangan larangan seperti bahan terlarang atau dadah, pihak berkuasa dengan kerjasasama PDRM berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya”

Menurut Ng Suee Lim lagi, pemain industri juga tidak perlu bimbang apabila Prosedur Operasi Standard (SOP) memasuki konsert masih seperti biasa dan bagi mengelakkan insiden yang tak diingini berulang, pemantauan perlu diperketatkan lagi serta Kerjasama PDRM amat diperlukan.

Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa komited untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sama ada dari dalam atau luar negara dengan sasaran 8 juta pelawat sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Terdahulu, media melaporkan, dalam kejadian di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada 31 Disember, empat termasuk dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dilaporkan maut, dua menerima rawatan di ICU, manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang oleh pihak hospital selepas kesemua mereka alami simptom sama.

Susulan itu, setakat jam 5 petang semalam, 49 individu direkod keterangan berhubung siasatan kes kematian empat individu dipercayai akibat mengambil pil ekstasi ketika sambutan ambang tahun baharu konsert Pinkfish.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini