SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) membentuk pasukan petugas khas (special task force) bagi mengkaji semula penstrukturan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media di universiti tersebut.
UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan petugas berkenaan melibatkan semua pemegang taruh UiTM termasuk alumni, pelajar, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO), industri, warga universiti, dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pasukan petugas khad itu ditubuhkan selepas perbincangan antara Naib Canselor UiTM, Prof Dr Roziah Mohd Janor; Pengurusan Tertinggi, wakil Majlis Profesor UiTM, Penolong Naib Canselor, dan Dekan-dekan dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media UiTM, dengan wakil Alumni Masscomm UiTM di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM, di sini, semalam.
“Semasa perbincangan itu, pihak UiTM mempertimbangkan untuk menukar nama Kolej kepada Kolej Pengajian Media, Komunikasi, Pengkomputeran dan Informatik selain melaksanakan penstrukturan semula dua buah fakulti iaitu Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Pengurusan Maklumat.
“Manakala Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Masscom) dikekalkan seperti sebelumnya,” menurut UiTM dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, UiTM memaklumkan proses libat sama untuk perkara-perkara tersebut dijangka mengambil masa tiga hingga enam bulan.
Oleh itu, UiTM memaklumkan pengoperasian dan pengendalian Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media berjalan seperti biasa sehingga satu ketetapan baharu dibuat.
Terdahulu, pihak pengurusn UiTM menerima pandangan Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM untuk membatalkan penggabungan FKPM dengan dua fakulti lain dan bersetuju mengekalkan FKPM sebagai fakulti tunggal.
Presiden Alumni FKPM (Alumi Masscomm UiTM) Basree Rakijan berkata perkara itu dimaklumkan Naib Canselor UiTM Prof Dr Datuk Roziah Mohd Janor dalam pertemuan bersama wakil persatuan berkenaan dengan pihak UiTM, semalam.
Bagaimanapun, institusi itu memaklumkan proses pembatalan memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan. – BERNAMA