SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) sedang meneliti dan memperkukuh prosedur latihan dan mekanisme pemantauan berkaitan aktiviti kokurikulum badan beruniform, susulan kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) universiti itu pada 13 November lalu.
UiTM dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu sudah dilaporkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
“UiTM berasa amat berdukacita dan ingin menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga pelajar berkenaan dan akan memberi sepenuhnya kerjasama kepada siasatan insiden terbabit.
“UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan.
“Sehubungan itu, pihak universiti juga sudah mengambil langkah proaktif untuk meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisme pemantauan berkaitan dengan aktiviti kokurikulum badan beruniform,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelatih PALAPES meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapa mangsa mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, memberitahu kejadian masih dalam siasatan dan maklumat lanjut berkaitannya akan dikongsikan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.