SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memenangi dua Anugerah Kecemerlangan Perniagaan (BEA) 2024 dalam satu majlis anjuran Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) di Subang Jaya, malam tadi.
Menurut kenyataan UiTM hari ini, universiti itu dinobatkan pemenang anugerah UK-Malaysia Education Institutional Partnership of the Year Award hasil kerjasama bersama Cardiff Metropolitan University.
Di samping itu, UiTM turut dianugerahkan penarafan satu bintang Energy Management Gold Standard (EMGS) atas usaha hijau dan penjimatan tenaga yang dilaksanakan universiti berkenaan.
“Dengan kejayaan ini, UiTM terus menunjukkan komitmen dan kecemerlangannya dalam bidang pendidikan serta usaha pemeliharaan alam sekitar.
“Anugerah ini satu penghormatan dan pengiktirafan atas segala usaha gigih yang telah dilakukan oleh universiti untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa serta melestarikan penggunaan tenaga,” menurut kenyataan itu.
Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC yang dimulakan pada 2018 itu bertujuan meraikan kekukuhan hubungan perniagaan antara UK dan Malaysia dengan mengiktiraf syarikat terbaik dari kedua-dua negara dalam pelbagai kategori pencapaian.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.