Tumpuan :
Nasional

UiTM raih Anugerah Pencipta Perak Youtube

Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin (Naib Canselor UiTM) bersama Prof Dr. Ismie Roha Mohamed Jais (Penolong Naib Canselor Pejabat Komunikasi Strategik), En. Norhilman Nordin dan staf Unit Media kreatif menerima Anugerah Pencipta Perak (Silver Creator Award) daripada YouTube.

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta sejarah sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia menerima Silver Creator Award daripada YouTube, hasil kejayaan saluran rasmi UiTM Channel melepasi 100,000 langganan pada September lalu.

UiTM dalam kenyataan menyatakan, saluran yang mula beroperasi pada 1 April 2013 itu kini mengumpul lebih 21 juta tontonan dengan lebih 1,900 video diterbitkan.

“UiTM Channel bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada komuniti universiti dan masyarakat, malah menjadi platform penstriman langsung popular, seperti semasa Istiadat Konvokesyen UiTM,” kata kenyataan itu.

Saluran yang diuruskan oleh pasukan Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM itu, turut menjana pendapatan sejak awal 2020, memperkukuh kedudukan universiti dalam dunia digital.

“Kejayaan ini membuka peluang kepada universiti memperluaskan kandungan kreatif dan inovatif yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak. Di platform TikTok pula, UiTM turut mencatat lebih 100,000 pengikut, lengkap dengan verifikasi rasmi,” jelas kenyataan itu.

UiTM juga melakar sejarah sebagai IPT pertama memperkenalkan platform e-dagang melalui TikTok, memasarkan produk ikonik seperti Beg Kuning UiTM.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen UiTM untuk terus menerajui inovasi dan transformasi digital, sekaligus mengukuhkan reputasi universiti di peringkat global,” ujar kenyataan itu lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini