PETALING JAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan Kursus Integriti Anti Rasuah (KIAR) sebagai sebahagian daripada usaha memupuk kesedaran integriti dalam kalangan pelajarnya.
Lebih daripada 40,000 pelajar semester ketiga akan mengikuti kursus itu mulai semester Oktober 2024 hingga Februari 2025.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr Mohd Sazili Shahibi program KIAR dilaksanakan hasil kolaborasi strategik bersama Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kursus ini sebelum ini ditawarkan sebagai subjek elektif di peringkat sijil, diploma, dan sarjana muda pada tahun 2022, sebelum diperkukuh menjadi salah satu Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) mulai tahun 2023.
“Pelaksanaan KIAR sebagai kursus wajib dalam MPU, bermula dengan kemasukan pelajar Semester 1, Sesi 2023/2024, adalah satu langkah penting dalam mendidik generasi muda tentang pentingnya nilai integriti,” jelasnya.
Pada masa sama, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, menegaskan bahawa pelaksanaan KIAR akan dipimpin oleh Pusat Kokurikulum dan Unit Kokurikulum di setiap kampus UiTM, dengan sokongan penuh daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
KIAR katanya, akan dijalankan selama 14 minggu, dengan dua jam kelas kokurikulum setiap minggu, memberikan peluang kepada pelajar untuk mendalami dan menerapkan nilai-nilai integriti dan perangi rasuah dalam kehidupan harian mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.