SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini melancarkan cincin eksklusif Signet LEGASI, yang direka sebagai simbol warisan institusi pendidikan ini yang telah bertapak kukuh sejak tahun 1956.
Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Cincin Signet LEGASI direka untuk memperingati legasi dan pencapaian UiTM sebagai institusi pendidikan bumiputera yang unggul.
Dihasilkan dalam edisi terhad sebanyak 100 unit sahaja, cincin ini diperkenalkan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100, sebagai simbolik kepada sejarah panjang dan aspirasi universiti.
“UiTM komited memastikan setiap graduan bukan sahaja meninggalkan universiti ini dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga dengan jati diri dan rasa bangga sebagai sebahagian daripada warisan yang diterjemahkan melalui cincin ini,” ujar Prof. Datuk Dr. Shahrin dalam ucapannya.
Reka bentuk LEGASI merupakan hasil kerja kreatif tenaga pengajar Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam.
Cincin ini memaparkan logo UiTM dengan elemen motif Bunga Tanjung yang diberi sentuhan kontemporari, menyerlahkan gabungan tradisi dan inovasi.
Pemakaian cincin ini tidak hanya sekadar aksesori, tetapi melambangkan aspirasi dan visi universiti dalam melahirkan graduan yang berwibawa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.