
SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) bagi memperkukuh peranan Institusi Raja-Raja Melayu melalui inisiatif akademik dan penyelidikan.
Kerjasama ini merangkumi penganjuran simposium, pertukaran maklumat strategik, pelaksanaan penyelidikan, dan program promosi nilai Institusi Raja-Raja Melayu. UiTM dan MDDM juga akan menubuhkan jawatankuasa bersama untuk merangka strategi pelaksanaan program yang dipersetujui.
UiTM, melalui Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja, memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan dan kedaulatan institusi ini.
Sementara itu, MDDM, sebagai badan yang menghimpunkan tokoh-tokoh dengan darjah kebesaran, komited untuk memperkukuh peranan Raja-Raja Melayu dalam konteks masyarakat dan negara.
Kerjasama ini sejajar dengan prinsip Rukun Negara serta usaha memperkukuh kestabilan negara dan kemajuan masyarakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.