SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) berada di kedudukan ke-151 di Asia dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024.
Menurut UiTM, kejayaan mencapai kedudukan 151 di Asia melalui penarafan peringkat dunia ini menunjukkan peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding tahun lalu.
“Sebanyak 1,403 institusi di seluruh dunia disenaraikan, berbanding 700 institusi pada tahun sebelumnya, dengan 26 institusi dari Malaysia dan 478 secara kolektif dari Asia.
“Pengukuran indikator bagi tahun 2024 mengalami beberapa perubahan yang ketara terutamanya, dengan kemasukan ‘Tadbir Urus’ sebagai salah satu indikator utama di samping ‘Kesan Alam Sekitar’ dan ‘Kesan Sosial’ yang diperkenalkan tahun lalu.
“UiTM menyaksikan peningkatan kedudukan bagi indikator ‘Kesan Alam Sekitar’ apabila berjaya mencapai skor yang lebih tinggi daripada skor median berdasarkan taburan markah global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, peningkatan skor juga dirakamkan bagi indikator ‘Impak Sosial’ yang diukur melalui lima indikator iaitu pertukaran pengetahuan, kebolehpasaran dan keberhasilan, kesaksamaan, kesihatan dan kesejahteraan serta kesan pendidikan.
“Kedudukan UiTM bagi indikator Pertukaran Pengetahuan meningkat daripada kedudukan 401 tahun lalu kepada 178 tahun ini yang menonjolkan dedikasi universiti ke arah pertukaran ilmu merentas negara dalam memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat.
“Bagi indikator ‘Tadbir Urus’ baharu yang diperkenalkan tahun ini, UiTM tersenarai antara 40 peratus institusi teratas dunia berdasarkan taburan markah global.
“Indikator ini mengukur sama ada institusi mempunyai tadbir urus yang kukuh dalam membenarkan keputusan dibuat secara terbuka, perwakilan pelajar, budaya beretika dan ketelusan kewangan.
“Secara keseluruhan, UiTM berada di kedudukan 599 daripada 1,403 institusi dan ke-13 daripada 26 institusi yang tersenarai di Malaysia pada tahun ini,” katanya.
Dengan pengiktirafan ini katanya, UiTM komited untuk memenuhi matlamat asal penubuhannya bagi penghasilan bakat Bumiputera profesional yang relevan dengan keperluan setempat dan sejagat.