Tumpuan :
Nasional

UiTM, JSPT Selangor kerjasama tingkat kesedaran jalan raya dalam kampus

Program keselamatan jalan raya itu mendapat impak positif kepada warga kampus dengan penglibatan lebih 24,000 pelajar.

KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan kesedaran jalan raya dalam kalangan warga kampus, pelajar tahun akhir jurusan Perhubungan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menganjurkan sebuah program keselamatan ‘Jaga Jarak, Jaga Nyawa’.

Program itu diadakan dengan kerjasama daripada Polis Bantuan UiTM dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor.

Pegawai Turus Penguatkuasa JSPT Selangor, Asistan Superintenden Harun Uma menerusi perkongsiannya berkata, sehingga November 2023, terdapat 175,511 kes kemalangan jalan raya di Selangor.

“Kes kemalangan maut turut mengalami peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Motosikal terus menjadi penyumbang utama kepada kes-kes ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Statistik itu menjadi peringatan penting kepada penunggang motosikal agar mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.

Dalam pada itu, Deputi Superintenden/Polis Bantuan yang juga Ketua Polis Bantuan UiTM Shah Alam Zakaria Ishak, menegaskan program itu diharap menyebarkan kesedaran dan menggalakkan kerjasama dalam kalangan warga kampus.

Program yang diadakan pada minggu lalu itu turut mendapat sambutan lebih 24,000 penonton secara maya yang terdiri daripada pelajar UiTM di seluruh negara.

Antara elemen utama yang menarik perhatian ialah sesi bual bicara bersama panel-panel berkaliber yang berkongsi data terkini dan langkah pencegahan berkaitan keselamatan jalan raya.

Maklum balas positif daripada para penonton menunjukkan keberkesanan program itu dalam mendidik generasi muda tentang kepentingan keselamatan jalan raya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini