SHAH ALAM: 858 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) termasuk yang tinggal di luar kampus di Kelantan yang terjejas banjir, diselamatkan dan ditempatkan di penempatan sementara di kampus UiTM.
Universiti itu menerusi kenyataan memaklumkan, mereka yang terjejas membabitkan 548 penuntut yang ditempatkan di kampus UiTM cawangan Kelantan dan 310 mahasiswa luar kampus dipindahkan ke kampus UiTM Machang.
Menurutnya, pihak universiti mengaktifkan Bilik Gerakan Operasi Bencana Negeri (JOBN) pada 12 tengah malam, 26 November lalu yang beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat dan tindakan pengurusan bencana banjir.
“Seramai 50 orang sukarelawan UiTM terdiri daripada kakitangan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Non Residen (JPKNR) serta unit pakaian seragam.
“Mereka bertanggungjawab dalam pemindahan mangsa banjir, menguruskan pendaftaran mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS), bertugas di bilik gerakan dan menyediakan penempatan sementara di kampus,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan lagi, operasi menyelamat dilaksanakan dengan kerjasama agensi keselamatan utama iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, pihak UiTM juga menyediakan PPS di surau kolej kediaman dengan bantuan makanan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sumbangan kakitangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian.
Katanya, UiTM Shah Alam turut menggerakkan bantuan pascabanjir dari kampus cawangan lain untuk menyokong mangsa banjir dalam kalangan warga universiti.
Tambahnya, UiTM Cawangan Perlis, Terengganu dan Kedah turut berada dalam langkah kesiapsiagaan dengan mengaktifkan bilik gerakan bencana masing-masing, malah terdapat permintaan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis untuk menjadikan UiTM Cawangan Perlis sebagai PPS sekiranya keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.
UiTM akan memastikan kebajikan warga universiti dan masyarakat sekitar menjadi keutamaan dengan kerjasama pihak pengurusan, kakitangan, pelajar serta agensi luar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.