KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Auckland University of Technology (AUT) memperkukuh kerjasama sebagai usaha mempertingkat kolaborasi dalam pendidikan dan bidang penyelidikan.
Kerjasama itu juga adalah sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan pendidikan UiTM menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AUT.
Dalam satu kenyataan UiTM berkata, MoU berkenaan antara lain bertujuan mempamer komitmen kedua-dua universiti dalam mencapai kerjasama merangkumi beberapa utama.
“Ia termasuk pertukaran staff dan pelajar dan pembangunan dalam pengajaran dan pembelajaran, penganjuran simposium, persidangan, kursus jangka pendek, serta penyelidikan dalam bidang komunikasi, perhubungan awam, pengiklanan, dan pengajian media,” katanya.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi yang mewakili Naib Canselor UiTM, dan Prof. Guy Littlefair, Pro Vice-Chancellor (International) merangkap Dekan Fakulti Rekabentuk dan Teknologi Kreatif (DCT), AUT.
Menurut UiTM, dalam usaha meningkatkan jaringan kerjasama akademik antarabangsa, lapan pelajar DCT AUT yang juga penerima Biasiswa Perdana Menteri New Zealand akan terlibat dalam Program Mobiliti Pelajar selama tiga minggu di Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif itu.
Tambah UiTM, kolaborasi antarabangsa itu diharap dapat memberi manfaat dalam bentuk pembangunan kurikulim dan penyelidikan yang lebih berdaya saing, sesuai dengan peredaran semasa dunia pendidikan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.