NILAI: ‘Ini kalau jumpa mak pak hang (kau), aku sembelih hidup-hidup.’
Polis giat mengesan suspek yang menghantar komen berbaur ugutan bunuh di media sosial terhadap ibu bapa kepada penyanyi dan pelakon, Naim Daniel.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pemilik nama sebenar Muhammad Naim Daniel Baharin itu membuat laporan di balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang pada 14 Mei lalu.
“Ia mengenai satu hantaran di aplikasi Instagram yang dibuat pemilik akaun @syxmzxk yang menulis ‘ini kalau jumpa mak pak hang (kau), aku sembelih hidup-hidup.’
“Bagaimanapun ia dipercayai berlaku di kediaman pelakon itu di Lenggeng, jadi ia kini di siasat di bawah IPD Nilai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Malik berkata, pihaknya meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun Instagram berkenaan.
“Kami sudah memanggil penyanyi ini untuk diambil keterangan. Dengan bantuan daripada SKMM, saya rasa akan ada perkembangan positif dalam masa terdekat,” katanya.
Abdul Malik juga meminta pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab terhadap komen dibuat dan jangan terlalu mengikut emosi kerana ia akan memakan diri.
“Setakat ini kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Naim Daniel membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih.
Menurutnya, komen yang dilemparkan terhadapnya sudah tersasar daripada konteks asal ciapan di X mengenai isu Blockout2024 yang disuarakan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.