ISKANDAR PUTERI: Atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, perlu menjalani beberapa lagi prosedur pembedahan dalam tempoh terdekat.
Anak kelima daripada lapan beradik itu yang membantu pasukan perahu naga negara menang pingat gangsa pada Sukan SEA 2023, sudah menjalani pembedahan termasuk bahagian bahu dan tulang pelvis di Hospital Columbia Asia di sini, susulan kemalangan pada 11 Mei lalu.
Abangnya, Muhammad Syafiq Md Elias, 29, berkata, hari ini atau esok, adiknya itu yang mesra dengan panggilan Uda mungkin perlu menjalani pembedahan lain bagi menutup luka pada belakang badan.
“Saya tidak pasti berapa kali lagi Uda perlu menjalani pembedahan, doktor kata seperti banyak lagi. Pembedahan plastik masih belum dijalankan dan Uda masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Setakat ini semua keperluan Uda mencukupi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pelajar semester enam Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan sebuah politeknik itu kemalangan di Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur (EDL), dipercayai dirempuh pemandu mabuk dan diseret sejauh kira-kira 100 meter.
Khamis lalu, seorang pembantu penyelia kilang, R Dhinesh, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan atlet kayak negara itu.
Tertuduh didakwa memandu kereta Toyota Vios dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 178 miligram/100 milimeter, 50 miligram melebihi had daripada had ditetapkan iaitu 128 miligram/100 milimeter.
Dhinesh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di sini jam 4.19 petang pada 11 Mei lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1a) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.