Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ucapan berbaur fitnah, Amirudin akan saman Sanusi

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan memfailkan saman terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapan Menteri Besar Kedah itu pada Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) BEST di Dataran Darul Aman di Jitra, Kedah yang berbaur fitnah.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, berkata ucapan Mohammad Sanusi jelas percubaan amat terdesak dan ingin mengalihkan persepsi daripada segala dakwaan skandal unsur nadir bumi (REE) yang terpalit ke atas beliau yang sehingga kini masih gagal dijawab secara berfakta.

“Dengan tegas saya menafikan sekeras-kerasnya segala bentuk dakwaan dan tuduhan itu, malah perkara ini sudah saya memperincikan secara panjang lebar di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu dan awal tahun ini serta dalam satu sidang Parlimen pada 1 Mac lalu.

”Saya akan memulakan proses tindakan undang-undang terhadap Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat.

“Saya sudah berbincang dengan peguam dan akan memulakan proses tindakan undang-undang terhadap Muhammad Sanusi dengan segera atas fitnah yang dilontarkan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Amirudin itu dipercayai merujuk laporan sebuah portal mengenai pendedahan  Sanusi berhubung skandal pembangunan Sungai Klang yang didakwa berlaku membabitkan Amirudin dengan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tekad Insan #Kita Selangor, di sini, Amirudin mengesahkan sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pembangkang yang didakwa memburukkan imej serta pencapaian negeri.

Katanya, tindakan itu menyusul selepas kerajaan negeri serta anak syarikat mendapati dakwaan dibuat terbabit jelas bersifat tuduhan liar yang memberi persepsi buruk.

“Hari ini mereka yang terdesak terpaksa mengitar beberapa isu yang telah dijelaskan secara tuntas di dalam (sidang) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Insya-Allah satu atau dua hari lagi beberapa surat tuntutan akan sampai dan saya percaya kerana ia adalah satu fitnah yang dilemparkan semata-mata untuk mencarik imej kerajaan negeri,” katanya.

Amirudin yang juga calon bagi kerusi DUN Sungai Tua dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci individu yang bakal menerima surat tuntutan berkenaan.

“Kita cuba memperjelaskan (isu tempatan) tetapi apabila kita diserang dalam isu Persekutuan, sudah tentu kita kena jawab.

“Sudah tentu ketentuannya adalah untuk menentukan hala tuju negeri. Tetapi bagaimana negeri hendak dibangunkan, juga harus ada kaitan dengan isu Persekutuan.

“Apa yang terjadi dalam masalah Perikatan Nasional (PN), mereka tidak ada isu negeri (tetapi) yang ada cuma fitnah dan kitaran isu yang pernah dibangkitkan dan dijawab serta juga mengulang benda yang sedikit sebanyak ditangani di peringkat Persekutuan,” katanya.

Loading...
Terkini