Tumpuan :
Nasional

Ubat Batuk Dikaitkan Kematian Di Gambia Tidak Berdaftar di Malaysia

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan empat produk sirap ubat batuk dan selesema keluaran syarikat Maiden Pharmaceuticals, India yang dikaitkan dengan kematian 66 kanak-kanak di Gambia, tidak berdaftar di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia hasil semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“KKM menerusi NPRA akan menjalankan pemantauan secara berterusan berkaitan kejadian ini untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan di negara ini terjamin. KKM akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan semalam yang melaporkan 66 kanak-kanak maut di Gambia selepas minum ubat batuk iaitu Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup yang dikilangkan oleh pengilang Maiden Pharmaceuticals.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengeluarkan amaran mengenai empat sirap ubat batuk dan selesema berkenaan yang dikaitkan dengan kematian tersebut.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) juga memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang tercemar itu mungkin sudah diedarkan di luar negara Afrika Barat, dengan ‘kemungkinan wujud pendedahan global’.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, empat sirap ubat selesema dan batuk yang dipersoalkan itu ‘berpotensi dikaitkan dengan kecederaan buah pinggang akut dan 66 kematian dalam kalangan kanak-kanak’.

Loading...
Terkini