comscore
Tumpuan :
Nasional

Ubah suai tangki minyak, bot nelayan dan 4 kru ditahan

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan kelas B yang disyaki melakukan pengubahsuaian tangki minyak di atas bot ketika menjalankan aktiviti perikanan.

Timbalan Pengarah Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, pemeriksaan pihaknya menemui dua tangki minyak yang diubah suai di atas dek dan rumah kemudi yang berisi lebih kurang 2,000 liter minyak diesel.

Menurut beliau, bot nelayan itu dikesan di kira-kira jam 2.10 petang semalam.

Kapal Maritim Malaysia yang terlibat dalam Op Ehsan/Op Murni dan Op Tiris 2.0 mengesan bot nelayan sedang melakukan aktiviti mencurigakan di kedudukan 20 batu nautika barat daya Kuala Sungai Burung.

Pemeriksaan mendapati bot nelayan itu dikendalikan empat warga Myanmar berusia dalam lingkungan 29 hingga 50 tahun.

Pemeriksaan dokumen juga mendapati bot nelayan tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesalahan turut dilakukan dibawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai tangki minyak tanpa kebenaran dan melanggar syarat lesen iaitu melakukan tangkapan ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Hasil soal siasat, kesemua suspek dibayar gaji bulanan sebanyak RM1,000 dengan komisen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.

Turut ditemukan di atas bot,kira-kira 500 kilogram ikan campur.

Kesemu kru, bot dan hasil perikanan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini