Oleh: Safwan Sawi
LAHAD DATU: Sebuah bot lampu dan bot nelayan tempatan ditahan atas kesalahan mengubah suai tangki minyak di atas bot serta gagal melaporkan pertukaran nakhoda, dalam satu operasi Ops Pluto Timur 2/2013 /Ops Tiris 3.0 di sini, pada jam 2.55 petang semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, dua buah bot terbabit dikesan ketika sedang melakukan aktiviti mencurigakan di kedudukan kira-kira 3.7 batu nautika tenggara Pulau Sakar.
“Pemeriksaan awal mendapati, bot lampu berwarna hijau putih itu dikendalikan seorang warga Indonesia dan seorang Palauh, manakala bot nelayan tempatan dkendalikan seorang warga Indonesia dan enam orang Palauh.
“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dzulfikhar berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot lampu bernombor pendaftaran SA6907/5/F telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai tangki minyak tanpa kebenaran.
Jelasnya, kesalahan termasuk mempunyai lesen tamat tempoh manakala bot nelayan tempatan terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda.
Katanya, kesemua kru dan bot dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Nilai tangkapan bagi dua buah bot terbabit adalah kira-kira RM350,000.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden yang berlaku di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.