Oleh Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: KPM menyambut baik cadangan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) untuk mengkaji semula dan mengubah suai sukatan pelajaran murid berkeperluan pendidikan khas dalam menyediakan golongan ini ke alam pekerjaan.
Justeru, KPM akan mengadakan sesi libat urus dari semasa ke semasa untuk memastikan kurikulum yang disediakan adalah setara dengan keperluan semasa golongan itu.
Sesi libat urus yang dirancang juga bagi memastikan pindaan kurikulum itu turut mengambilkira kitaran ansur maju anak-anak ini
“Soal mengubah kurikulum atau meminda kurikulum ini, ada kepakaran dia yang ada di KPM, yang saya fikir sangat penting untuk saya kongsikan bahawa sesi libat urus akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa, untuk kita mendapatkan input dari semua pemegang taruh kita,” ujar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Semalam, Pengerusi PPDKSD, Hanizan Hussin berkata sistem pembelajaran sedia ada ketika ini dilihat tidak bersesuaian dengan kemampuan golongan sindrom down.
Justeru, katanya, sukatan khusus perlu dibangunkan termasuk berkaitan latihan dan kemahiran bagi mempersiapkan golongan itu ke dunia pekerjaan.
Tambahnya, antara program yang boleh dibangunkan ialah terapi fizikal, pertuturan dan kemahiran yang amat diperlukan anak-anak sindrom down.