comscore
Tumpuan :
Nasional

Ubah suai pinjaman, kurangkan yuran pengajian UA jika sistem pembelajaran hibrid, jadual anjal dilaksana

FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta mengubah suai pinjaman apabila sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kelak.

Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu membolehkan jenis pinjaman yang ditawarkan, disesuaikan dengan sistem pembelajaran yang dilaksanakan di universiti awam (UA).

“Saya sudah meminta supaya pihak PTPTN melihat sejauh mana perlu diubah suai pinjaman yang perlu. Kita pertimbangkanlah,” katanya ketika mengadakan lawatan ke FELDA Bukit Easter, di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, melakukan lawatan ke FELDA Bukit Easter di Pejabat FELDA Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor. – FOTO: NSTP

Baru-baru ini, Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Nur Nazirah Abdullah, dilaporkan berkata, yuran pengajian di UA wajar dikurangkan sehingga kepada 50 peratus jika sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di IPTA.

Beliau dilaporkan berkata, setiap UA perlu melihat keperluan pelajar iaitu akses fasiliti yang akan digunakan jika pelaksanaan pembelajaran itu dilakukan.

Mengulas lanjut mengenai sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal itu, Mohamed Khaled, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, hanya kira-kira 90 peratus bidang pengajian yang akan ditawarkan sistem berkenaan.

“Kalau hibrid atau anjal, ia sebenarnya satu ‘option’ (pilihan), bukan diwajibkan untuk semua pelajar dan ia hanya meliputi beberapa subjek yang sesuai dilakukan secara anjal,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, tawaran bagi kemasukan ke UA untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih belum dibuka.

Berikutan itu, Mohamed Khaled menasihatkan semua pelajar lepasan SPM supaya berhati-hati jika menerima tawaran kemasukan ke UA melalui pelbagai medium seperti aplikasi WhatsApp atau Telegram.

“Kita sedar ada banyak tawaran (kemasukan UA) dalam pelbagai medium. Universiti awam dan politeknik belum ada keluarkan apa-apa tawaran kerana pihak UPU masih lagi dalam proses (pemilihan) permohonan yang dikemukakan.

“Apabila sampai masa, kita akan umumkan, secara rasmi. Jadi saya berharap pelajar (lepasan SPM) berwaspada jika menerima tawaran melalui pelbagai medium aplikasi,” katanya.

Beliau berkata, institusi swasta berkemungkinan menggunakan aplikasi seumpama itu bagi memaklumkan tawaran mereka, namun pelajar masih perlu membuat semakan bagi mendapatkan pengesahan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Kalau institusi swasta, itu mungkin cara mereka. Tapi kalau berlaku penipuan atau penyamaran dan bukan tawaran sebenar daripada institusi pengajian itu, pelajar boleh buat aduan.

“Jika diminta buat sebarang bayaran seperti yuran atau sebagainya, boleh hubungi terus universiti itu untuk tanya mengenai mesej yang diterima,” katanya.

Loading...
Terkini