Oleh Kumaran Rajamoney
ARAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahir Hamidi mahu pendidikan dan Latihan teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pilihan utama bagi pembangunan modal insan terutamanya masyarakat di luar bandar.
Ini kerana, lepasan TVET katanya mempunyai kebolehpasaran melebihi 90 peratus dan dijanjikan pulangan yang baik dari segi pendapatan.
“Sejumlah 1,291 buah insitusi TVET dibawah seliaan 12 buah kementerian boleh menjadi pilihan kepada anak-anak yang ingin melanjutkan pelajaran. Kerajaan membelanjakan RM6.7 billion bagi memperkasakan TVET, dan kita mahu lihat hasilnya.”
“Graduan TVET dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sendiri merekodkan kebolehpasaran sehingga 98 peratus, dalam bidang penyelengaraan kapal terbang. Ini bukti pelaburan dalam TVET akan memberikan keberhasilan yang baik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri KKDW berkata kementeriannya turut menyertakan lapan maahad tahfiz dalam program TVET dibawah seliaannya dan berjaya menghasilkan tiga orang jurutera penerbangan yang kini bertugas di luar negara.
“Terdapat 1,100 buah maahad tahfiz, dengan lebih 250,000 orang pelajar. Mereka ini antara kumpulan yang boleh memanfaatkan pendidikan TVET.”
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di sini hari ini.