Oleh: Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelita, menyasarkan 150,000 peserta dengan lebih 1,000 peluang pekerjaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET Jelita akan menjadi platform ‘game-changer’ yang didedikasikan khas untuk memperkasa golongan wanita di negara ini melalui pendidikan dan latihan kemahiran.
“Program TVET Khas Wanita yang diperkenalkan hari ini merupakan inisiatif yang penting dalam usaha memperkasa golongan wanita dengan membuka peluang pendidikan kemahiran yang dapat meningkatkan kesejahteraan hidup.
“Usaha yang diperkenalkan ini sangat mustahak kerana wanita seringkali berhadapan dengan cabaran ekonomi dan sosial yang unik antaranya diskriminasi gender, perbezaan gaji dan kesukaran untuk memasuki bidang pekerjaan yang didominasi oleh kaum lelaki.
“Jadi, dengan menumpukan usaha-usaha untuk memperkasakan wanita melalui TVET, kita tidak hanya memecahkan halangan tetapi juga menetapkan asas untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jelita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Seri Noraini Ahmad.
Noraini dalam ucapannya berkata terdapat 10 bidang utama ditawarkan di Akademik TVET Jelita sebagai permulaan melahirkan lebih ramai wanita bekerjaya, profesional dan berdaya saing.
“Ia merangkumi bidang Teknologi Maklumat, Kejuruteraan, Kecantikan dan Fesyen, Pengangkutan dan Logistik, Pemasaran, Pengurusan, Industri Halal, Teknologi Agro, Perniagaan Luar Bandar serta Perlancongan yang merangkumi Hospitaliti dan Kulinari.
“Program Induk yang diterajui oleh RISDA ini akan dijayakan dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Agrosains Malaysia (UCAM),” katanya.
Jelasnya, UTeM dan UCAM akan bekerjasama dengan 87 penyedia latihan yang lain di seluruh Malaysia dalam menawarkan program dan persijilan yang lebih tinggi dan luas.
Selain itu, program ini juga mendapat kerjasama 74 rakan strategik bagi memastikan program dan pensijilan yang ditawarkan selari dengan keperluan industri.