comscore
Tumpuan :
Nasional

TVET harus jadi pilihan lepasan SPM lanjut pelajaran – Ahmad Zahid

Pendidikan TVET mampu membina kerjaya dengan luas kerana ramai pelabur yang masuk ke negara memerlukan tenaga kerja teknikal dan jurutera. – Foto hiasan

KUALA PILAH: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diharap menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terutama mereka yang mendapat kelulusan kurang baik dalam peperiksaan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kebanyakan negara menjadikan TVET sebagai sistem pendidikan yang memberi peluang untuk generasi muda membina kerjaya dengan luas.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beliau melihat beberapa negara maju seperti Jepun dan China yang memilih TVET sebagai sistem pendidikan utama.

“Ramai pelabur yang masuk ke negara memerlukan tenaga kerja teknikal dan jurutera, di mana hendak dapatkan kalau bukan bidang TVET.

“Oleh sebab itu, saya sudah minta wujudkan institusi TVET untuk mudahkan mereka memohon. Sebanyak 94.5 peratus lepasan TVET mendapat kerja manakala selebihnya menyambung pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah, di Dewan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, lewat petang tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 200 tempat ditawarkan kepada anak Negeri Sembilan bagi mengikuti kursus jangka pendek dan sederhana latihan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke China.

“200 daripada 5,125 tawaran yang kita terima diberikan kepada pelajar TVET Negeri Sembilan, kita akan kemukakan senarai nama ini bersama pelajar tempat lain yang telah saya tawarkan sebelum ini,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi ‘game changer’ atau pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia.

Tawaran itu hasil jalinan kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dengan pihak industri berkaitan TVET di China iaitu Beifang Automotive Education Group dan Tang (M) International Education Group melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini