Tumpuan :
Nasional

TV3, BH rangkul Anugerah Pena Emas OSHPop 2024

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan Anugerah PENA Emas 2024 kepada wakil Media Prima, Hazreen Mubarak pada Majlis Anugerah MISHA 2024 di Royal Chulan Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) mengungguli majlis Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPop) 2024, malam ini.

Dua wakil MPB, masing-masing Wartawan BH, Muhammad Yusri Muzamir dan Wartawan Meja Sukan TV3, Hazreen Mubarak memenangi Anugerah Pena Emas pada majlis anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) itu.

Anugerah itu turut dimenangi tujuh lagi wakil media masing-masing dari BERNAMA, RTM, Majoriti (The Star), ASTRO Arena, Malaysia Tribune dan Edisi 9 turut merangkul anugerah sama.

Setiap pemenang membawa pulang plak dan sijil penghargaan.

Pemilihan bagi kategori itu bertujuan mengiktiraf sumbangan petugas media yang memberi kerjasama dan membantu meningkatkan tahap pengurusan risiko keselamatan, kesihatan serta alam sekitar di tempat kerja.

Pada majlis yang disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu, PETRONAS dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama, Grand Platinum OSHPop 2024.

Terdahulu, Dzulkefly ketika berucap merasmikan OSHPop 2024, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama MiSHA akan memperkenal dasar dan program pencegahan lebih menyeluruh menerusi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan.

Beliau berkata, ia termasuk penyediaan garis panduan kesihatan paru-paru, kempen kesedaran dan pemeriksaan kesihatan berkala untuk pekerja yang terdedah bahan berbahaya.

“KKM tahun ini, akan memulakan agenda kesihatan khusus bagi sektor pekerjaan dengan kerjasama MiSHA melalui Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan.

“Inisiatif ini adalah langkah penting dalam menangani risiko bagi penyakit berkaitan paru-paru yang berkait rapat dengan tempat kerja,” katanya.

Dzulkefly berkata, pekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan serta industri berat antaranya, sering terdedah kepada bahan berbahaya seperti habuk, bahan kimia dan pencemaran udara, boleh mengakibatkan penyakit seperti paru-paru kronik, asma pekerjaan atau silikosis, jika tidak diuruskan dengan baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, MiSHA sebagai pertubuhan mewakili suara industri perlu memainkan peranan penting bagi menyampaikan keperluan dan cabaran sektor pekerjaan kepada pihak kementerian.

“Kerjasama ini diharap dapat menjadi platform untuk menyelaraskan usaha dalam memperbaiki kesejahteraan pekerja dan mencegah risiko kesihatan di tempat kerja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini