comscore
Tumpuan :
Nasional

Tutup semua tapak perkhemahan tepi cerun, sungai – Ahmad Zahid

Anggota SMART bergerak ke lokasi kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali. – FOTO: Ihsan SMART

HULU SELANGOR: Semua tapak perkhemahan yang terletak di tempat berisiko seperti berhampiran kawasan cerun dan sungai, ditutup sementara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata saranan itu dibuat bagi mengelak bencana geologi berulang, seiring ramalan Jabatan Meteorologi (METMsia) yang menjangka hujan lebat berterusan selama lima hari, mulai esok.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat berkata, orang ramai perlu menangguhkan cadangan beriadah di tapak perkhemahan, terutamanya yang terletak di tempat berisiko.

“Kita perlu belajar daripada kejadian dialami di sini dan berharap ibu, bapa, guru dan pelajar yang bercadang bercuti (di tapak perkhemahan) untuk kosongkan premis berkenaan terlebih dahulu, bagi memastikan tiada lagi kejadian seperti ini berulang.

“Kawasan sungai umpamanya, mungkin selamat sekarang tetapi mengikut METMalaysia hujan lebat diramal bermula esok, terutama di Pantai Timur. Dikhuatiri hujan lebat di hulu sungai akan menyebabkan kepala air yang mungkin melanda kawasan pertengahan atau kuala sungai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Ahmad Zahid berkata, agensi kerajaan akan mengkaji semula seluruh aspek operasi tapak perkhemahan di kawasan cerun dan berhampiran sungai.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan saranan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Galian (JMG), bagi mengelak bencana geologi daripada berulang.

Katanya, perincian garis panduan baharu bagi operasi premis terbabit akan dikemuka agensi penguat kuasa dan pihak berkaitan.

“Ini antara saranan JKR dan JMG dan kedua-dua jabatan ini mempunyai senarai lengkap kawasan cerun berkenaan.

“Itu sebabnya mereka minta saya beri nasihat supaya tapak perkhemahan di cerun hendaklah dikosongkan sementara, terutamanya musim hujan,” katanya.

Loading...
Terkini