![](https://media.buletintv3.my/2023/01/CMS-PPZ-27.jpg)
GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mengucapkan syabas kepada kerajaan Kedah kerana mengambil pendirian tegas dengan menutup premis judi dan loteri di negeri berkenaan.
Beliau berkata, pengharaman judi ke atas orang Islam sememangnya dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran bersama pengharaman minuman arak.
Katanya, sebab pengharaman sebagaimana dinyatakan di dalam ayat yang sama ialah arak dan judi diperalatkan oleh syaitan bagi mencetuskan kebencian antara anggota masyarakat.
“Selain itu ia menghalang mereka daripada mengingati Allah SWT untuk menunaikan solat.
“Di dalam al-Quran juga ada disebut bahawa antara fungsi utama pihak yang diberi kuasa pemerintahan termasuk menyuruh kepada kebajikan, mencegah kemungkaran dan memastikan solat didirikan oleh masyarakat yang beragama Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bagaimanapun Wan Salim berkata terdapat dua perkara berkaitan yang perlu diberi perhatian dalam isu berkenaan iaitu pertama mengenai hukum Islam hanya mengikat umat Islam.
Katanya, orang bukan Islam tidak boleh dipaksa mengikut hukum Islam dan ia termasuk mematuhi larangan berjudi dan minum arak.
“Kedua ialah membanteras sesuatu perbuatan mungkar perlu dilaksanakan secara berhikmah.
“Ia adalah bagi mengelak reaksi yang mungkin menyebabkan suasana menjadi kucar kacir serta huru hara dalam kalangan mereka yang tidak memahami sebab larangan berkenaan, iaitu bukan saja orang Islam, tetapi juga bukan Islam.
“Maka perubahan yang bijaksana, beransur-ansur dan tenang adalah amat dialu-alukan dalam hal ini,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya Sabtu lalu apabila kerajaan negeri membuat keputusan tidak lagi memperbaharui lesen perjudian bermula semalam.