comscore
Tumpuan :
Nasional

Tutup dan batal pendaftaran sekolah terkait dengan GISB – MAIS

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. – Foto fail NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertegas akan menutup mana-mana sekolah agama yang mempunyai kaitan dengan ajaran menyeleweng daripada agama Islam.

Tindakan itu dibuat susulan laporan pelbagai kesalahan dan jenayah seksual terhadap 20 buah rumah amal yang terkait dengan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga telah diarah untuk menyiasat seluruh sekolah agama dan rumah amal yang mempunyai kaitan dengan GISB.

“Kenyataan ini juga merujuk kepada penularan beberapa video yang dimuat naik di media sosial berhubung dengan dakwaan penglibatan GISB dan beberapa buah sekolah Islam di bawah rangkaiannya dalam penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam yang sebenar.

“Berdasarkan video yang tular tersebut, GISB dikaitkan dengan ajaran dan fahaman Kumpulan Al-Arqam yang telah pun diharamkan di Negeri Selangor melalui tiga fatwa yang masing-masing diwartakan pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 2 Disember 2006,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, arahan tegas turut dikeluarkan terhadap mana-mana institusi pendidikan di Selangor yang didapati membawa fahaman bertentangan dengan ajaran Islam.

” JAIS telah diarahkan untuk membuat siasatan segera terhadap semua rumah amal dan sekolah Islam yang mempunyai kaitan dengan GISB dan rangkaiannya untuk memastikan tiada ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar disebarkan di rumah amal dan sekolah Islam tersebut.

“Jika didapati terdapat rumah amal dan Sekolah Islam yang terlibat dengan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam, maka penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 hendaklah dibuat dengan kadar segera,” katanya lagi.

MAIS dalam masa sama tidak akan teragak-agak untuk membatalkan pendaftaran mana-mana sekolah yang menyebarkan ajaran menyeleweng menerusi Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Dalam pada itu, pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau perkembangan kes berhubung segala dakwaan yang dikaitkan dengan GISB.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini