comscore
Tumpuan :
Nasional

Tuntutan Sulu: Malaysia menang lagi di mahkamah Perancis – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berada di London bagi berjumpa peguam lantikan kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan kumpulan Sulu. – Foto Facebook Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Malaysia melakar kejayaan lagi selepas menang di Mahkamah Perancis dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu, sekali gus mematikan gerakan mereka untuk merampas aset diplomatik Kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pada 6 November lalu, Mahkamah Perancis membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun yang dibuat terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris oleh penuntut warga Filipina (Kumpulan Sulu).

Beliau berkata, hari ini mahkamah sama merekod penarikan balik oleh pihak penuntut warga Filipina bagi prosiding rampasan aset terhadap bangunan diplomatik Kerajaan Malaysia yang sama.

“Kesimpulannya, keputusan pada 6 dan 9 November ini membolehkan keputusan membebaskan kerajaan Malaysia daripada cubaan tidak sah oleh warganegara Filipina itu untuk merampas aset diplomatik Malaysia di Perancis secara menyeluruh.

“Mereka gagal dalam menyentuh hak milik harta Malaysia dan kita tidak sama sekali boleh bersikap tolak ansur ke atas tuntutan tidak sah ini,” katanya dalam temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian.

Azalina kini berada di London untuk fasa ketiga tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu, bagi berjumpa dengan peguam lantikan Kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan mereka, seterusnya menyangkal taktik dan hujahan mereka secara komprehensif. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini